Tuesday, October 26, 2010

Misteri Kampung Kedondong

"Betul ke Wok Limah?" soal jiran sebelah rumah yang enggan dikenali namanya kepada Wok Limah.

Misteri yang berlegar legar di kepala orang kampung tidak dapat dibendung lagi. Soalan harus diajukan, biar apa risiko yang harus ditempuhinya.

"BAGERO!!!" teriak Wok Limah usai disoal jiran yang enggan dikenali namanya itu. Penampar sudah diangkat paras ketiak, tapi sempat ditahan jirannya yang enggan dikenali namanya.

Acap kali dia bersabar ketika ditanya soalan oleh orang kampung, tapi tidak lagi kini. Akan sabarnya ada had, begitu juga Wok Limah. Bernamakan Wok Halimah semenjak lahir, tidak pernah pula dia bertanyakan hal namanya kepada kedua ibu bapanya, Wak Dol Bin Rozali dan Siti Semah Bujang.

***

Semenjak surat khabar Jawi yang dibelinya Pak Ngah Mutalib di hujung pekan sana pagi hujung minggu lalu, tidak senang duduk dibuatnya orang kampung. Seperti kebiasaannya, Pak Ngah Mutalib akan mendapatkan surat khabar terkini dari kedai hujung pekan, kerana hanya dia yang selalu ke pekan, manakala orang kampung kebanyakannya membajak sawah padi, menoreh di ladang dan mengintai anak dara mandi berkemban segelintirnya.

Lain ceritanya dengan Pak Ngah Mutalib. Sesudah ayam berkokok di kala subuh, Pak Ngah Mutalib akan bersiap siap selesai solat Subuh di surau. Air sejuk di waktu pagi memang bukan kepalang, tapi diendahkannya. Gagah katanya. Sebab itu Mak Ngah Mutalib sayang benar akan lelakinya yang seorang itu. Tebal urat di lengan katanya.

Selepas bersiap siap, Pak Ngah Mutalib akan ke sungai mencari rakan rakan sepenangkapan ikan sungainya. Lazimnya, dia akan membeli ikan ikan sungai liar ini daripada rakan rakannya dengan harga orang kampung. Kemudian, bertemankan motosikal buruk kesayangannya, Pak Ngah Mutalib akan ke pekan untuk bertemu dengan orang Cina bandar. Orang Cina sayang benar akan Pak Ngah Mutalib. Mereka cukup bahagia dapat makan ikan sungai liar. Patin liarlah yang paling menjadi kegemaran orang Cina, selain ikan kelisa, ikan emas dan Flowerhorn.

Dan selesai berniaga ikan sungai, Pak Ngah Mutalib akan membeli surat khabar hari itu dan membawanya pulang ke kampung. Di kampung, hanya Pak Ngah Mutalib, Tok Imam Hamzah dan beberapa kerat orang kampung sahaja yang pandai membaca surat khabar Jawi. Surat khabar Jepun langsung mereka tak pandai, walaupun kerajaan Jepun sebelum itu memaksa rakyat seantero menyanyi lagu Kimigayo pagi pagi. Oleh itu, lazimnya, Pak Ngah Mutalib akan duduk di kedai kopi Kak Nah Simpang yang terletak di simpang kampung dan orang orang kampung akan berkumpul sekitar Pak Ngah Mutalib.

Lalu, satu per satu berita yang terpapar dalam akhbar tadi dibacanya.

"Pak Ngah, nye cerita benda dalam berita sukan hari ini Pak Ngah? Keh dengor George Best nak pindoh ke Pahang ye?" soal Abu anak Leman.

Begitulah rutinnya.

Namun, pagi Ahad itu, berita gempar yang dibaca Pak Ngah Mutalib benar benar merunsingkan orang kampung.

"Kerajaan mewajibkan rakyat Tanah Melayu untuk mendaftarkan nama masing masing di pejabat pejabat daerah terdekat. Manakala rakyat di kampung boleh mendaftar dengan ketua kampung di balai raya kampung masing masing."

Begitulah sorotan berita yang dibaca, dan sekalian orang kampung berpusu pusu ke balai raya untuk mendaftarkan nama mereka. Ye lah, zaman ni surat beranak tak ada lagi. Umur pun kira pakai bulan Syawal sampai Muharam.

***

"Betul ke Wok Limah daftar nama dia Karen amende entah dekat balai raya itu hari? Mat nya ke pelik sangat bunyi nya?"

Persoalan itu masih berlegar legar di kepala orang kampung, dan Wok Limah, atau Karen Sophia seperti dalam buku daftar balai raya Kampung Kedondong khabarnya membawa diri ke Gua Gelanggi untuk merajuk.

P/S: Lima puluh peratus cerita ini kisah benar, dengan nama dan jalan cerita diubah satu dua. Kampung Kedondong adalah kampung lama mak bapak aku, dan Pak Ngah Mutalib dan rutinnya adalah arwah moyangku, cuma aku tak tahu nama betul dia. Sama sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada ahli-ahli keluarga kita yang dah pergi meninggalkan kita. Sekian.

2 comments:

  1. sudah2 la bercakap bohong tu gori....
    kalau basuh ayam ade jugak pekdahnye...

    -org RTM-

    ReplyDelete